Sempena hari ibu yang bakal berlangsung tidak lama lagi, hari ini ana ingin menceritakan satu kisah kepada semua yang sudi membacanya. Bukan apa yang ana maksudkan untuk mengikuti budaya barat yang hanya memilih tarikh tertentu untuk meraikan ibunya, namun hanyalah untuk sekadar kita beringat dan renungan supaya kita sama-sama mengingati apakah pengorbanan ibu kita itu mampu ditanggung oleh kita jika kita berada di tempatnya. Kisahnya bermula pada kehidupan seorang janda beranak tiga, dia telah bersusah payah membesarkan anak-anaknya sekuat yang boleh. Hendak di jadikan cerita, berjayalah anak-anaknya untuk melanjutkan pelajaran di MRSM-MRSM yang terkemuka selain seorang anaknya yang hanya berjaya melanjutkan pelajaran di salah sebuah SMKA yang berhampiran tempatnya.
Pembiayaan untuk pelajar MRSM ketika itu tersangat besar dan hampir-hampir si ibu ini tidak mampu untuk menampungnya. Namun, keras hatinya berbekalkan semangat anak ini bakal penerus kepada masa depan negara. Maka di tanggungnya segala derita. Lalu, terjadilah satu ujian untuk menguji kekuatan hati sang ibu ini. Anaknya yang belajar di SMKA di tuduh sebagai seorang pencuri malahan perkara itu di sebarkan kepada sekalian penduduk kampung. Alangkah hancurnya hati seorang ibu apabila mendengar berita sedemikian. Apatah lagi pesalahnya adalah anaknya yang belajar di SMKA. Tentulah besar harapannya untuk melihat anaknya ini hebat di dalam agama seperti yang sepatutnya ada pada seorang yang beraliran agama. Menitis air matanya setelah mendengar berita demikian.
Akhirnya dia mengambil keputusan berbincang dengan anaknya itu lalu apabila anaknya itu menyatakan bahawa tuduhan itu hanyalah tipu semata-mata, maka mengalir sekali lagi air matanya. Syukur.. Ucapnya. Dan pada ketika itu, si ibu menyatakan bahawa dia mempercayai kata-kata si anak ini dengan sepenuh hati. Sedih hati si anak, apabila si ibu yang mana telah mengetahui keburukan si anak ini yang banyak, namun apabila timbul permasaalahan begini, dia masih lagi mempercayai kata-kata si anak ini. Pada ketika itu, tekad si anak ini, dia pasti akan berubah demi menjadi insan yang di harapkan oleh si ibu itu tadi. Dan analah si anak itu. Dengan kasih sayang yang di berikan pada ana, harga berapakah yang boleh ana nilaikan melainkan ana doakan semoga suatu hari nanti dapat ana membalas jasa ibu ana ini. Maka ana memohon pada Allah semoga doa ana di makbulkan kerana seorang ibu boleh menjaga 10 orang anak, tapi 10 orang anak mungkin tidak dapat menjaga seorang ibu. Ana berharap ana bukan terdiri dari orang yang tidak dapat menjaga ibunya. Insyaallah, segala jasa ibu hanya Allah yang mampu membalasnya.
Pintu Mesir dibuka kepada Palestin
12 years ago
0 comments:
Post a Comment